SEASON 1 , EPISODE 2: RUMAH API
Dalam episod kali ini, penulis buku menerangkan perkara kedua yang dia belajar dari sami yang dia jumpa di pergunungan. Hal itu ialah mengenai metafora rumah api atau lighthouse.
Sebelum meneruskan lebih lanjut, penulis mengingatkan syarat yang dia belajar untuk bahagia hanyalah melalui berbakti kepada orang dan pulangannya akan kembali kepada diri sendiri dalam pelbagai bentuk seperti emosi, fizikal, spiritual dan mental.
Ke Mana Arah Tujuan Kau?
Seperti di lautan, kapten akan rujuk rumah api di kala malam gelap dan laut bergelora. Rumah api diibaratkan seperti tujuan dalam kehidupan. Ianya harus kekal menyala, membakar agar kau sebagai kapten tidak tersesat dalam lautan yang berbahaya ini.
Ingat: Tujuan kehidupan ialah hidup dengan tujuan.
Kita mesti tahu apa yang kita mahukan dalam hidup ini dari pelbagai arah seperti:
- Emosi
- Spiritual
- Material
- Fizikal
ADAKAH AKU AKAN BAHAGIA BILA SUDAH BERSARA?
Ramai ingat kebahagian adalah apabila kita sudah tidak bekerja, dah bersara, dan bebas. Namun, itu tanggapan yang salah kerana kebahagiaan yang berkekalan adalah apabila kita konsisten bekerja atau berusaha dalam mencapai cita-cita atau impian atau keinginan dan seterusnya menuju ke arah tujuan hidup sebenar kau di dunia ini.
Inilah RAHSIA KEDUA KEBAHAGIAAN iaitu PENCAPAIAN.
Hidup akan lebih seronok apabila kau luangkan hari hari kau untuk mencapai impian kau.
Setiap orang yang lahir di dunia ini telah dituliskan untuknya misi kehidupan mereka. Masing masing mempunyai misi unik dan hanya diri mereka sendiri yang boleh mengetahuinya dengan cara mengenali diri mereka sendiri secara perlahan lahan.
Pernah tak kau rasa kau sudah ada kerja, dan mencapai pelbagai kejayaan tetapi masih merasa kosong dan tidak gembira? Itu adalah tanda kau berada dalam misi kehidupan yang tidak betul dan menjadi tanda untuk kau bergerak mencari diri kau dan misi unik kau di dunia ini. Kau mungkin seorang doktor harini tetapi jauh di lubuk hati kau itu, kau tidak menyukai kerjaya kau. Kau lebih gembira sekiranya kau berada dalam melukis atau menyanyi. Mungkin itu adalah keunikan kau yang sebenar dan telah lama kau kuburkan. Kadangkala, kita perlu mengambil risiko dalam hidup ini tetapi risiko itu perlulah diambil secara berhemah, perancangan teliti dan keyakinan pada takdir. Untuk itu, kita boleh meninggalkan kerja kita sekarang dan masuk dalam bidang yang kita betul betul sukai.
TULIS IMPIAN KAU.
Ramai manusia bermimpikan intan permata, dan kesenangan tapi tidak ramai manusia yang nampak kepentingan untuk mengambil sekurang kurangnya 10 minit sebulan untuk menulis cita cita dan impian & untuk berfikir secara mendalam tentang tujuan kehidupan.
Maka, kita perlulah menulis cita-cita, impian, misi dalam hidup kita walaupun sekecil kecil perkara. Ingatlah, kau tidak akan kena sasaran yang kau sendiri tidak nampak.
Kenapa kena tulis impian? Tak cukup ke fikir dalam otak je?
Bayangkan dalam sehari, manusia mempunyai 60,000 pemikiran. Dengan menulis kehendak, target dan impian kau, kau memberitahu minda bawah sedar kau bahawa perkara yang kau tulis itu adalah lebih penting daripada 59,999 pemikiran lain. Dengan itu, minda kau akan lebih terarah kepada cara mencapai impian kau dan kau tidak akan tersesat. Ia akan jadi seperti peluru misil yang sudah kunci sasarannya.
Kau akan ubah hidup kau apabila kau ada misi yang jelas dan apabila kau mula mencari tujuan hidup.
Tumpukan sepenuh tenaga mental kau untuk pencarian diri sendiri. Belajarlah apa yang kau bagus dalam melakukannya dan membuatkan kau gembira.
Pernah tak kau fikir jika kau mati hari ini, adakah kau akan merasa tidak menyumbang apa apa kepada dunia? Kau rasa kosong dan sia sia segala gala yang kau lakukan ibarat membosankan. Itu adalah tanda tanda kau perlu serius mencari minat kau atau kita panggil ‘Passion’.
5 Cara untuk Mencapai Impian / Cita Cita / Target
- Bayangkan- Bayangkan kejayaan yang kau inginkan dalam hidup. Contohnya kau mahu kurus, jadi bayangkan badan kau kurus. Reka gambar dalam minda kau.
- Tekanan Positif- Wujudkan tekanan yang positif dengan memberitahu orang yang dipercayai mengenai impian kau. Kau akan membuatkan diri kau sedikit tertekan untuk terus usaha mencapai cita cita apabila mengetahui ada orang yang sedar akan cita cita kau dan akan lihat perkembangan kau dari masa ke semasa.
- Jangka masa- Jangan sesekali ada impian tanpa jangka masa untuk capai impian tersebut. Beli buku kosong harga RM1-RM2 untuk jadikan buku impian. Tulis segala impian kau dan bahagikan impian kepada pelbagai sektor: spiritual, material, mental dan fizikal.
- Magik No 21- Kenapa 21? 21 menandakan perubahan ke tabiat. Apabila kau nak buat tabiat yang baru, kau perlu konsisten 21 hari. Jadi, kau boleh jejaki kau punya cita cita atau perubahan dalam masa 21 hari dalam buku tadi.
- Enjoy- Penting sekali adalah untuk kau seronok dalam melakukan perubahan atau mencapai cita cita. Akan ada jatuh dan bangun, dan itu adalah normal. Anggap ia sebagai perkara yang mengajar kau dan ada hikmah di sebalik kejadian. Bersangka baik kepada Allah adalah sifat yang bagus untuk Muslim. Have Fun!
Melakukan apa yang kita sukai adalah ibarat petrol kepada sebuah impian dan cita cita. Impian dan cita cita pula ibarat kereta yang tidak akan bergerak tanpa petrol. Sebab itu, penting untuk kita lakukan apa yang kita cintai, sukai dari mengikut norma masyarakat. Contohnya, keluarga kau tetapkan kau untuk jadi seorang arkitek, tapi kau tidak minat kerjaya tersebut. Maka, sekiranya kau terus mendengar dan berjaya jadi arkitek sekalipun, jiwa kau mati kerana kau tiada petrol untuk membakar impian kau dalam hidup ini. Maka, kau akan berasa kosong, tertekan dan terus diselubungi perasaan yang mencengkam jiwa kerana komitmen semakin besar dan kau tersekat dalam kerjaya yang kau benci. Itulah penyeksaan yang terbesar untuk manusia. Ia ibarat formula untuk kemusnahan individu.
Formula Misery: We do not do things because we love to do them. We do things because we feel we have to do them.
Kepada masyarakat, keluarga di luar sana, biarlah anak anak muda memilih apa yang mereka ingin lakukan dalam kehidupan. Nasihat boleh diberi dan paksaan amat tidak digalakkan. Biarlah mereka yang menimbang sendiri apa yang mereka inginkan dalam hidup ini. Tugas kita hanya memberi cahaya nasihat bagi mereka melihat dan keputusan di tangan mereka.
Hal ini kerana, di dunia ini pada ketika aku menulis artikel ini, dirasakan seperti semakin banyak jiwa kosong memenuhi ruang sosial masyarakat. Ini tidak lain dan tidak bukan kerana kebanyakan dari kita telah hilang minat sebenar kita, tujuan sebenar kita dan misi unik kita di dunia ini kerana tekanan kapitalis, masyarakat dan juga media sosial.
Jadilah tuan kepada takdir diri sendiri. Larilah kau dalam perlumbaan dengan diri KAU sendiri dan bukan orang lain.
Ingatlah, apa yang ada di depan dan belakang kau adalah tidak sepenting apa yang ada di dalam diri kau.
Kau adalah penentu untuk mengubah nasib diri kau sebelum mati. Masih belum terlambat. Biarkan rumah api kau kembali bercahaya!
Salam Sayang dari Syafiq Shah @ Syafiqcat
CREDIT TO BOOK: THE MONK WHO SOLD HIS FERRARI BY ROBIN SHARMA
Ulasan
Catat Ulasan