Hari ini aku terasa mahu menulis mengenai buli siber
memandangkan zaman digital semakin hari semakin besar penggunaannya dalam
masyarakat seantero dunia. Sewaktu aku menulis ini, aku berada di zaman yang
mencabar dimana wabak Coronavirus ataupun COVID-19 sedang merebak di seluruh dunia.
Disebabkan itu, kebanyakkan negara telah menyarankan semua rakyat mereka agar
duduk di rumah atau pengehadkan pergerakan di luar. Ramai orang diberikan cuti
untuk duduk di rumah bersama anak-anak, isteri dan lain-lain. Maka, saya
percaya bahawa ketika Inilah penggunaan internet telah meningkat disebabkan
masa yang tidak terbatas buat semua orang melayari internet sekaligus
memberikan sensitiviti masyarakat semakin tajam.
Apa itu buli siber?
Apa itu buli siber?
Buli siber adalah sejenis buli yang menggunakan medium elektronik
seperti telefon atau komputer untuk membuli orang lain.
Daripada isu yang sekecil-kecilnya sehinggalah ke isu yang
serius, para pengguna internet atau netizen akan sentiasa mempunyai sesuatu
untuk diperkatakan di ruangan komen setiap entri pengguna-pengguna yang lain.
Ini membuktikan setiap manusia mempunyai rasa ingin didengari dan ingin
mendapat perhatian daripada manusia yang lain. Pada ketika aku menulis ini,
perkara yang hangat dibualkan netizen adalah isu artis-artis di Malaysia dan
juga isu seorang usahawan wanita. Isunya adalah mengenai sikap para artis dan
usahawan wanita itu membuat komen yang dianggap menghina golongan berpendapatan
rendah. Disebabkan itu, netizen telah menyerang setiap Instagram entri yang
dibuat oleh pihak-pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut.
Saya tidak menafikan bahawa hak netizen adalah menyuarakan
pendapat, ketidakpuasan hati dan lain-lain isu yang dirasakan tidak adil, sensitif atau lain-lain, tetapi perkara yang menjadikan saya banyak berfikir adalah
bagaimana cara netizen menegur dan tindakan mereka selanjutnya. Saya melihat
bahawa sebahagian netizen sanggup mengeluarkan kata-kata yang kotor dan boleh
menyakitkan hati orang yang membuat entri tersebut atau perasaan orang lain.
Selain itu, hal yang menjadikan ini semakin bahaya adalah apabila perkara-perkara
yang tidak benar disebarkan ataupun ia dipanggil fitnah seakan-akan ianya
perkara yang biasa untuk melakukan perkara sedemikian pada hari ini.
Siapa Yang Salah?
Dalam hal ini, saya percaya pihak netizen dan pihak yang
menyuarakan pendapat di media sosial mempunyai hak mereka masing-masing. Pada pandangan
saya, orang yang ingin membuat post di media sosial haruslah berfikir sebelum
melakukan entri dengan memikirkan perasaan manusia yang lain. Janganlah sesuka
hati mengeluarkan kenyataan yang kedengaran mementingkan diri sendiri. Bagi
netizen pula, seharusnya mereka lebih berhemah dalam menegur. Netizen sepatutnya tidak mengganggu rumah
tangga individu yang ditegur seperti mendoakan anak anak mereka dengan doa yang
tidak baik atau berdoa agar dia tidak berjaya. Hal ini kerana saya melihat
perkara itu sebagai satu tindakan yang tidak baik dan boleh mendatangkan kesan
kepada kanak-kanak. Jika tidak puas hati kepada orang itu, hanya komen kepada
orang tersebut tanpa mengalihkan kepada keluarga mereka. Jika netizen terus
menyerang perihal keluarga individu berkenaan, maka saya boleh katakan ianya adalah siber buli.
Begini, netizen ada hak nak menegur individu tersebut JIKA
kenyataan yang dibuat individu tersebut didapati melanggar sensitiviti masyarakat
umum. Hal ini kerana jika dibiarkan individu itu terus membuat kenyataan
tersebut, bimbang ianya akan membiarkan individu itu terus merasa dirinya
betul. Oleh itu, bagi individu tersebut, hendaklah dia menerima teguran jika
didapati teguran itu benar dan membuat permohonan maaf. Namun, jika para
netizen menegur dan didapati teguran itu satu fitnah atau tidak realistik, maka
individu itu hendaklah memberikan penjelasan lanjut jika merasakan dirinya
tetap betul. Jika netizen terus menyerang setelah individu tersebut memberikan
penjelasan dan permohonan maaf, maka bagi saya, itu sudah menjadi kes buli
siber.
Kesan Siber Buli
Buli siber boleh mendatangkan kesan kesan yang tidak baik
terhadap individu tersebut. Dari segi psikologi, buli siber boleh meningkatkan tekanan,
merendahkan keyakinan, meningkatkan kesedihan dan boleh menjadi parah apabila
membuatkan individu tersebut mempunyai rasa untuk membunuh diri. Ini adalah
perkara yang serius kerana ianya melibatkan nyawa seseorang.
Persoalannya, adakah netizen sanggup untuk menanggung rasa
bersalah jika seseorang itu membunuh diri oleh kerana komen netizen yang tidak
beradab dan terlalu ekstrem? Adakah ianya berbaloi dengan mengutuk ahli keluarga
individu berkenaan dan mengetahui bahawa anak-anak mereka mengalami depresi dan
masalah keyakinan diri oleh kerana komen-komen netizen terhadap anak-anak mereka? Adakah netizen sanggup mengetepikan etika ketika memberikan
komen hanya untuk merasa diri mereka betul dan keseronokan menjadi betul tetapi
dalam hal yang sama menjatuhkan orang lain?
Bagi pihak yang membuat entri yang mendapat kecaman netizen
yang ramai, individu ini perlulah pantas memberikan penjelasan lanjut mengenai
apa yang dimaksudkan. Jika sudah tahu diri mengeluarkan kenyataan yang salah,
maka seharusnya individu ini pantas membuat kenyataan memohon maaf kepada umum
dan tidak memasukkan unsur perli memerli kepada netizen kerana hal ini dilihat
hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Apa yang kita perlu ubah?
Bagi netizen, apabila menegur:
1. Tegur apa yang perlu sahaja tanpa menyentuh isu yang tiada
kaitan dengan individu tersebut seperti isu kekeluargaan individu tersebut
seperti anak-anak mereka.
2. Selagi boleh tegur cara baik, tegurlah secara baik.
3. Apabila individu itu telah memohon maaf, tidak usahlah memanjangkan
lagi persengketaan. Maafkan dan teruskan hidup.
Bagi individu yang membuat entri di media sosial:
1. Fikir panjang sebelum membuat entri di media sosial. Fikir
perasaan orang umum.
2. Terima teguran netizen jika didapati teguran mereka itu
benar dan sedar diri melakukan kesilapan.
3. Memohon maaf tanpa menambah unsur perlian. Dah minta maaf, usah
sakitkan hati dengan cara lain pula.
4. Jika teguran netizen didapati tidak benar, maka individu
hendaklah menjelaskan pendapat individu sejelas-jelasnya agar tidak menimbulkan
fitnah berpanjangan.
Kesimpulannya, kita semua hidup bermasyarakat. Ada yang di
atas, ada yang di bawah. The key is respect each other. Apabila satu pihak
membuat salah, tegurlah mereka dengan berhemah dan orang yang ditegur hendaklah
melihat apa yang ditegur dan mengambil tindakan secepat mungkin untuk
mengelakkan fitnah berlarutan. Jika netizen yang salah, maka tegurlah netizen
dengan cara yang berhemah juga. Maka netizen hendaklah menerima teguran jika
sudah terang netizen bersalah. Pada pendapat saya, tidak eloklah kita hendak
menjatuhkan orang lain sampai memberi impak kepada ahli-ahli keluarga yang
lain.
Sekian pendapat saya. Terima kasih baca blog saya.
Syafiq Shah
Pelajar tahun akhir Michigan State University, USA
Pelajar tahun akhir Michigan State University, USA
Reference:
Ulasan
Catat Ulasan